Monday, February 23, 2009

AMK Negeri Perlis buat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM



Kangar, 23 Feb: Angkatan Muda Keadilan Negeri Perlis hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Ahmad Said Hamdan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dekat sini.

 

Laporan polis tersebut diadakan berikutan kenyataan Ahmad Said berkenaan hasil siasatan tuduhan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa oleh Menteri Besar Selangor Abd Khalid Ibrahim mengenai sumbangan 46 ekor lembu dan kos selenggaraan kereta Lexus kegunaan rasmi Khalid.

 

AMK Perlis menganggap kenyataan Ahmad Said tersebut merupakan satu kenyataan yang berniat jahat dan mempunyai niat sebaliknya untuk memburuk-burukkan reputasi Khalid sebagai MB Selangor.

 

Laporan polis tersebut dilakukan oleh Ketua AMK Perlis Zamri Sapar.

 

Zamri mendakwa bahawa tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu adalah jelas menyalahi tatacara urusan dokumen sulit yang sepatutnya tidak boleh didedahkan di samping suatu percubaan untuk melakarkan seolah-olah MB Selangor merupakan seorang yang telah melakukan rasuah.

 

Katanya, tindakan Ahmad Said juga kelihatan selari dengan usaha jahat dan terancang oleh Umno yang mahu mengganggu-gugat kestabilan kerajaan Selangor.

 

Difahamkan laporan polis tersebut turut diadakan serentak di seluruh negara oleh kepimpinan AMK negeri-negeri.

 

Turut hadir ialah Setiausaha AMK Perlis Tengku Putra Norsham, Ketua Penerangan AMK Perlis Asrul Nizam Abd Jalil serta beberapa orang aktivis AMK Perlis lagi.

Sunday, February 22, 2009